Isnin, 12 November 2012

Sejarah Pusat Pentadbiran Baru Negeri Johor - Kota Iskandar


Pusat Pentadbiran Baru Negeri Johor


                Bandar Nusajaya dilaksanakan dalam tiga fasa. Fasa pertama membabitkan pembinaan Pusat Pentadbiran Baru Negeri Johor. Fasa kedua merangkumi pembinaan 500 kediaman kakitangan kerajaan dan sebuah masjid. Fasa ketiga pula adalah pembinaan pejabat Kerajaan Persekutuan.
Pusat pentadbiran baru dalam fasa pertama terdiri daripada Dewan Negeri, Kompleks Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan negeri Johor. Dibina berpaksikan kiblat, manakala rekabentuknya berdasarkan seni bina Johor-Melayu dan model Moor-Andalusia.
Dewan Negeri Johor dibina empat tingkat merangkumi Dewan Undangan Negeri bagi 114 Ahli Dewan Undangan Negeri Johor, perpustakaan, arkib, bilik gerakan, dewan jamuan dan ruang rehat. Bangunan ini juga turut dihiasi dengan laman-laman hiasan serta kemudahan asas seperti surau.
            Kompleks Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri dibina dengan keluasan 21,480 kaki persegi setinggi lima tingkat. Kompleks ini merangkumi ruang Pejabat Menteri Besar, pejabat-pejabat EXCO, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan jabatan-jabatan kerajaan. Ia mempunyai kapasiti bagi populasi 530 orang kakitangan. Dilengkapi dengan dewan serba guna, surau, kafetaria, lapangan teater dan taman.
Di samping itu, fasa pertama ini turut disertakan dengan Dataran Mahkota dan dua buah Kompleks Jabatan Negeri. Dua buah Kompleks Jabatan Negeri ini dibina dari tiga hingga lima tingkat dengan kemampuan menampung populasi 1,772 kakitangan daripada 18 buah jabatan. Setiap kompleks dilengkapi dengan dewan serbaguna, kafetaria dan surau setiap satu. Pusat Pentadbiran ini dijangka sempurna pada bulan September 2007.
Pusat Pentadbiran ini digelarkan sebagai Kota Iskandar di Nusajaya. Berkedudukan kira-kira 25 kilometer dari Johor Bahru, terletak berhampiran dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di barat Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER), yang turut menghubungkan Johor Bahru melalui Danga ke Nusajaya dan PTP di bahagian barat serta Pasir Gudang dan Tanjung Langsat di timur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan