Isnin, 3 September 2012

Gunung Lambak tarikan pelancong


Taman tema air yang sentiasa dikunjungi orang ramai terutama pada musim cuti.

 di hadapan kaunter Taman Rekreasi Gunung Lambak.

Antara rumah chalet yang disediakan di Gunung Lambak.

Jika berkunjung ke Kluang, tidak lengkap perjalanan sekiranya tidak singgah sebentar ke Taman Rekreasi Gunung Lambak yang terletak kira-kira 5 kilometer (km) dari bandar Kluang.

Taman Rekreasi Gunung Lambak adalah salah satu pusat tarikan pelancongan yang ada di daerah ini.

Dahulu, kawasan Gunung Lambak itu dikenali sebagai Gunung Lambak Eco-Resort.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kluang, Ahmad Ma’in berkata, taman itu menawarkan pelbagai kemudahan istirehat, rekreasi, sukan lasak dan kegiatan ilmiah di samping pengunjung berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi yang masih terpelihara.

Menurutnya, taman rekreasi berkenaan mula dibina pada pertengahan 1999 dan siap sepenuhnya pada 25 Januari 2003 dengan jumlah kos pembinaan sebanyak RM8.85 juta di bawah peruntukkan Jabatan Landskap Negara.

“Ia meliputi dua fasa pembangunan iaitu fasa pertama, dibina pada November 1999 dan siap pada 31 Disember 2000 dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM4.17 juta. Manakala, fasa kedua dibina pada 21 November 2001 dan siap pada 25 Januari 2003 dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM4.68 juta.

“Lokasi taman rekreasi ini sangat strategik iaitu terletak lebih kurang 5.0 kilometer dari Bandar Kluang melalui Jalan Johor Tenggara meliputi kawasan pembangunan seluas 16.76 hektar (41.48 ekar) di atas tanah yang telah di rizabkan sebagai ‘Rizab Awam Taman Rekreasi Gunung Lambak’ di bawah jagaan Setiausaha Kerajaan Johor dan diselenggarakan oleh Majlis Perbandaran Kluang (MPK),” katanya kepada Sinar Harian.


Tepati kehendak pengunjung

Jelasnya, pembangunan Taman Rekreasi Gunung Lambak yang berkonsepkan eko-lipur ini menepati kehendak penduduk tempatan yang gemar menjalankan aktiviti pendakian ke puncak gunung selain meningkatkan tahap pembangunan fizikal bandar Kuang.

Tambahnya, taman rekreasi ini mula beroperasi sepenuhnya pada Julai 2004 di bawah pengurusan swasta iaitu Lagun Merpati Sdn Bhd dan telah diambil alih pengurusannya oleh MPK mulai 1 Februari 2012.

Ahmad berkata, bagi mereka yang ingin beriadah bersama keluarga boleh membawa mereka ke puncak gunung bagi melihat keindahan fauna atau ke kolam renang yang disediakan.

Menurutnya, Gunung lambak juga sangat popular dalam kalangan penduduk tempatan untuk melakukan riadah pada waktu pagi dan petang.

“Selain mendaki gunung, terdapat juga aktiviti senaman yang dijalankan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada setiap pagi. Kawasan tempat letak kereta yang disediakan, memudahkan mereka melakukan aktiviti riadah di sini.

“Setakat ini, Taman Rekreasi Gunung Lambak ini telah mendapat kunjungan daripada pengunjung tempatan dan luar negara terutama dari Singapura,” katanya.


Taman tema air jadi tarikan utama

Bagi Pengurus Kawasan Taman Rekreasi Gunung Lambak, Jamaliah Hashim berkata, taman tema air adalah lokasi tarikan utama pengunjung.

Menurutnya, taman tema air itu sentiasa penuh dengan orang ramai terutamanya pada hujung minggu, musim cuti sekolah dan cuti umum di mana mereka dapat beriadah bersama keluarga.

“Pengunjung dikenakan bayaran yang berpatutan untuk memasuki taman tema air ini.

“Selain itu, Gunung Lambak ini juga terkenal dengan aktiviti pendakian yang amat digemari masyarakat di daerah ini,” katanya.

Jelasnya, pada masa ini Gunung Lambak juga menyediakan aktiviti baru khusus untuk warga Kluang iaitu sukan Paintball.

Menurutnya, permainan Paintball itu akan diadakan sekiranya ada permintaan daripada pengunjung yang mahu menguji diri dengan aktiviti mencabar tersebut.

“Permainan Paintball tambah menyeronokkan apabila diadakan di dalam kawasan hutan lipur seperti Gunung Lambak,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan