Isnin, 3 September 2012

Tanya Dr Nizar


Silap diagnosis boleh burukkan keadaan
DR NIZAR ABD JALIL


$entry.content.caption.value

Assalamualaikum, doa saya semoga Dr sihat sejahtera hendaknya.

Saya adalah seorang penjawat awam dari Pahang berusia 40 tahun. Saya aktif bersukan sehingga ke penghujung usia 30an. Saya sering sakit pada otot bahu kiri, belikat dan mengalami pening yang kronik hampir dua tahun lamanya. Pening (kehanyutan) bermula dari tengkuk, belakang kepala, ubun kepala dan juga bahagian atas kening mata.

Gejala kekejangan dan rasa nyeri juga kadang-kadang dialami pada otot tengkuk dan bahu. Selain itu, pergerakan leher dan bahu kiri tidak terbatas namun kadangkala ia berasa sengal dan tidak selesa manakala tangan kiri dirasai seperti kebas-kebas namun masih sensitif pada rasa. Akibat masalah ini, saya tidak boleh aktif dengan sukan lasak yang melibatkan banyak pergerakan seperti bola sepak dan futsal kerana akan mengalami sindrom kehanyutan tersebut.

Untuk pengetahuan doktor, saya pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya melibatkan motosikal sekitar 12 tahun lalu. Saya telah merujuk kepada pakar ENT lebih setahun lamanya. Brain CT dan Brain MRI yang dibuat menunjukkan saraf telinga dan otak adalah normal.

Saya juga telah merujuk kepada pakar neurologi dan disarankan agar selalu bersenam, membuat senaman regangan otot leher, tidur dalam posisi betul serta menggunakan bantal sesuai. Rawatan dan pengawalan kolesterol juga telah dibuat namun saya disahkan tiada
penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Soalan saya:

1. Bagaimanakah caranya untuk menjalani temu janji, pemeriksaan dan rawatan daripada Dr. Nizar?
2. Sekiranya disahkan mengidap penyakit kronik, adakah kaedah suntikan radio frekuensi perlu dilakukan secara bersiri (dua hingga lima kali misalnya?) Saya juga ingin bertanya apakah kesan sampingan terhadap kaedah rawatan ini.

Mohon jasa baik Dr. untuk memberikan penjelasan.
Terima kasih.

Abdullah, Kuantan, Pahang.


Jawapan : Sakit tengkuk berserta sakit bahu / belikat dan pening merupakan gejala klasik untuk sakit sendi faset pada tengkuk (cervical facet syndrome). Ianya sejenis artritis sendi. Sendi ini kecil dan ada sepasang pada setiap ruas tulang belakang. Ia berguna untuk mendongak dan memutar tulang belakang ke kiri dan ke kanan. Jika orang muda mengidap sakit ini, ia biasanya dikaitkan dengan kecederaan masa lampau seperti kemalangan kereta, jatuh dan sebagainya.

Sakit pada otot bahu, tengkuk dan belikat amat ketara jika anda mengalami sakit sendi faset tengkuk. Pesakit akan perasan otot bahu atau lehernya menebal, ada ketulan yang amat sakit jika dipicit / urut, malah pesakit boleh melompat terkejut jika otot -otot ini dipicit. Gejala sakit otot ini dipanggil Myofascial Pain Syndrome dan kesannya melemahkan otot tersebut di samping rasa sakit dan kejang.

Salah satu sifat istimewa sakit otot myofascia pada leher dan bahu adalah kesakitannya boleh mimik penyakit lain terutamanya masalah ENT (pening, rasa hanyut atau memusing, telinga berdengung) slipped disc (kebas turun ke tangan), masalah mata (kabur), migrain dan juga gejala gastritis (kembung perut dan banyak sendawa). Jadi tak hairanlah pakar-pakar kadangkala tidak dapat menjelaskan punca gejala yang dirasai.

Lebih teruk lagi, keadaan ini boleh menyebabkan kesilapan diagnosis klinikal oleh doktor yang kurang arif dengan sindrom ini. Rawatan paling efektif adalah merawat penyakit sendi faset, iaitu punca kepada semua gejala yang disebutkan di atas. Rawatan mujarab antaranya suntikan radiofrekuensi yang akan melemahkan saraf yang membawa signal sakit pada sendi faset tersebut.

Hasilnya pesakit tidak rasa sakit lagi, mampu bergerak bebas dan lebih produktif. Sebenarnya kita tidak perlu risau proses artritis / penuaan jika ia tidak memberi rasa sakit. Apa yang paling menarik, semua gejala pelik dideritai sekian lama boleh sembuh sehari selepas rawatan radiofrekuensi.

Kebanyakan pesakit (80 peratus) memerlukan hanya sekali rawatan. Selebihnya mungkin perlu kali kedua sebagai rawatan susulan. Ini bergantung kepada keterukan penyakit dialami. Kesan sampingan yang serius disebabkan kaedah rawatan ini tidak akan berlaku jika ia dilakukan oleh doktor terlatih. Hal ini kerana suntikan dilakukan dengan kawalan mesin X-Ray.

Begitu pun, komplikasi serius boleh terjadi jika ia dilakukan oleh doktor yang tidak terlatih. Jika mahu, anda boleh mendapatkan rawatan ini daripada saya di HUSM atau Hospital Pakar Perdana Kota Bharu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan