Isnin, 3 September 2012

Warga emas hilang ditemui mati


WARTAWAN SINAR HARIAN
2 September 2012


BATU PAHAT - Misteri kehilangan seorang wanita, Fatimah Omar, 99, sejak 26 Ramadan lalu terungkai apabila mayatnya ditemui di kawasan semak di kebun kelapa sawit, hanya kira-kira 300 meter dari rumah didiaminya di Sri Gading di sini, semalam.

Fatimah yang mengalami masalah nyanyuk ditemui kira-kira 11 pagi oleh seorang pemuda yang sedang meracun rumput di kebun itu di Lorong 3 Kampung Baru, Sri Gading manakala arwah sebelum ini tinggal bersama anaknya Saliman Podo, 55, di Lorong 2 kampung sama.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, warga emas itu ditemui dalam keadaan berkemban dan mayatnya telah reput.

“Seorang pekerja di kebun kelapa sawit yang sedang meracun rumput terhidu bau busuk sebelum menemui mayat mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sinar Harian baru-baru ini melaporkan, Fatimah disedari hilang oleh keluarganya ketika hampir waktu berbuka puasa dan pelbagai gerakan mencari telah dilakukan namun tidak berjaya menemuinya.

Pada hari tersebut, keluarganya memanggil arwah untuk berbuka puasa bersama-sama namun panggilan itu tidak dijawab dan disangkakan warga emas itu tidur di dalam bilik tetapi setelah melihatnya tiada ahli keluarga terus mencari di kawasan sekeliling rumah namun usaha mereka menemui jalan buntu.

Din berkata, polis telah melakukan pelbagai usaha mencari sebelum ini termasuk dengan kerjasama Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan mengedarkan gambar arwah di tempat awam di sini sehingga ke Johor Bahru.

“Sebelum ini, arwah beberapa kali merayau dan hilang akibat masalah nyanyuk tetapi dapat dilihat oleh jiran-jiran yang kemudiannya menghantarnya pulang semula ke rumah.

“Bagaimanapun, pada hari itu, dia hilang pada waktu berbuka puasa jadi tiada sesiapa yang nampak kerana semua orang sibuk nak berbuka dan lebih malang dia hilang di kawasan semak dalam kebun kelapa sawit,” katanya.

Beliau turut menyatakan siasatan awal menunjukkan tiada unsur jenayah dalam kes itu dan keluarga arwah mengenalinya menerusi kain dipakai, susuk badan dan rambut arwah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan